"Bang... Saya dari Patani bang. Saya bekas pelajar di sini, tetapi hari ini saya nak jual keropok"
Di dalam fikiranku, terlintas keropok berbungkus-bungkus yang telah ada di rumah.
"Alamak! Dah banyak la bang keropok kat rumah" Aku menjawab selamba.
"Abang... Saya jual ni nak menampung adik-adik sekolah dan mak sakit kat kampung." Dia cuba mengambil hatiku untuk membeli keropok itu.
Di dalam hati aku, terbit perasaan ragu-ragu terhadap lelaki ini sama ada beliau benar-benar memerlukan wang atau sengaja memaksa pelanggan membeli keropok itu.
"Abang... Satu RM25. Belilah satu". Pemuda itu masih menaruh harapan yang tinggi.
"Bukan saya tak nak beli, tapi kat rumah memang banyak. Beginilah, saya hadiahkan sedikit wang untuk adik-adik dan mak saudara di kampung." Aku menghulurkan seberapa banyak wang kertas yang telah ada di dalam kocek, tanpa kukira berapa jumlahnya.
"Eh abang... saya tak mahu terima. Saya tak mahu terima wang ini, saya bukan mengemis untuk bantu adik-adik dan mak. Biar saya jual barang dan untungnya saya bantu mereka." Tegasnya sambil melarikan tangannya ke belakang.
"Abang belilah keropok ini RM10 pun tak apa, asalkan saya tak rugi dan sedikit untung boleh bantu keluarga." Ujar pemuda itu.
Akhirnya aku kalah dengan hujah pemuda tersebut, "kalau begitu tak mengapa, saya ambil satu, boleh juga berikan kepada saudara-mara"
Dia menjualnya dan beredar mencari pembeli baru. Aku pula beredar memasuki masjid UPM untuk solat Maghrib. Namun, hatiku masih tertanya-tanya, 'adakah dia benar-benar ikhlas menjual kerana keluarganya? Kenapa dia tidak mahu menerima sedekah?'
Sementara menanti azan berkumandang, aku ternampak lelaki tadi telah bersongkok dan mengenakan kain sarung lebih bersih. Apabila iqamah disuarakan, dia tampil di saf pertama dan kami solat berjemaah.
Setelah selesai solat, aku nampak dia menadah tangan berdoa. Matanya berair.
Aku mula faham, begitulah kehidupan. Di kala kita susah, mungkin orang lain tidak berada di sisi kita untuk membantu dan seringkali kita berseorangan menghadapi kesusahan. Apatah lagi untuk mengurangkan beban dan memahami apa yang orang lain rasakan. Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul.
Aku juga sedar, aku tidak perlu berasa sangsi terhadap sesiapapun, kerana aku tidak layak menjadi hakim atas kebaikan dan keburukan sesiapa. Biarpun dia berbohong atau tidak, selagi aku ingin berjasa dan berbakti dengan ikhlas, kenapa tidak aku menjadi seorang yang lebih baik, sekurang-kurangnya lebih baik dari dia. Tangan yang memberi lebih baik dari tangan yang menerima.
Agaknya, dia merasakan rezekinya dan keluarganya lebih berkat sekiranya wang tersebut datangnya dari hasil usaha sendiri dan bukannya hasil mengemis.
Sesungguhnya, Allah S.W.T Maha Berkuasa. Hanya berbekalkan 15 minit, kesedaran itu datang memberi pengajaran.
Sebelum pulang, aku sempat menoleh ke arah lelaki itu yang telah mula berniaga semula. Terdetik di hatiku 'Alhamdulillah! Rezeki aku cukup untuk aku menyara keluargaku. Dan aku berdoa agar Allah S.W.T memperudahkan dan memurahkan rezeki hamba-Nya yang memerlukan ini. Sedang dia bekerja keras berniaga menyara keluarga, dia tidak lupa akan-Mu Ya Allah. Malah betapa ramai yang mengaku diri hamba-Mu, berkereta mewah berumah atap mahal, tetapi hati mereka tetap jauh dari-Mu. Ya Allah... Hati lelaki ini bersih, mengelak mengemis namun percaya akan rezeki Allah hebatnya turun melalui perniagaan. Ya Allah... berilah ketenangan dan kesenangan kepadanya. Dan aku bersyukur atas apa yang aku perolehi hari ini.'
Rasulullah S.A.W bersabda yang bermaksud:
"Tangan di atas lebih baik daripada tangan di bawah dan mulai dengan mereka yang menjadi tanggunganmu. Sebaik-baik sedekah ialah ketika berada dalam keadaan mencukupi (segala keperluan). Siapa memohon dipelihara (untuk tidak meminta-minta), maka Allah akan memeliharanya. Siapa yang bermohon dicukupkan (segala keperluan), maka Allah akan mencukupkan kehidupannya." (Hadis Riwayat al-Bukhari)
Rasulullah S.A.W bersabda lagi yang bermaksud:"Tidak akan dikurangi harta dengan sebab bersedekah, Allah tidak menambah keampunan seseorang hamba melainkan seseorang itu ditambahkan dengan kemuliaan. Tidaklah seseorang itu merendah diri kerana mengharapkan keredhaan Allah melainkan akan diangkatkan darjatnya." H.R. Muslim
Rasulullah S.A.W menyeru umatnya bersedekah, sabda baginda S.A.W:"Hendaklah setiap orang Islam itu bersedekah, jika ia tidak dapat berbuat demikian , maka hendaklah ia berusaha sendiri yang dapat memberi faedah kepada dirinya sendiri dan dengan yang demikian ia dapat bersedekah, jika ia tidak sanggup, maka hendaklah ia menolong orang yang susah yang memerlukan bantuan, jika sekiranya ia dapat berbuat demikian, maka hendakah ia menyuruh orang lain mengerjakan kebaikan, jika ia tidak dapat berbuat demikian juga, maka hendaklah menahan dirinya daripada melakukan kejahatan, kerana yang demikian itu adalah dianggap sedekah." H.R. Ahmad.
Allah S.W.T juga telah berfirman yang bermaksud:Siapakah orangnya yang mahu memberikan pinjaman kepada Allah, sebagai pinjaman yang baik (ikhlas) supaya Allah melipat-gandakan balasannya? Dan (selain itu) ia akan beroleh pahala yang besar! [Al-Hadiid 57:11]
- Artikel iluvislam.com
No comments:
Post a Comment