Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani.
Percayalah,
orang yang cemerlang ialah orang yang ceria. Dia melaksaanakan apa jua aktiviti
hidupnya dengan rasa gembira. Sama ada aktiviti yang berkait dengan Allah
(habluminallah), mahupun aktiviti yang berkait dengan manusia (habluminannas),
semuanya dibuat dengan gembira .
Ceria yang dimaksudkan di sini bukanlah
terkinja-kinja atau tertawa terbahak-bahak, tetapi rasa senang, tenang, rasa
bebas dan lapang di dalam hati.
Tidak percaya? Cuba imbau kembali hasil
kerja kita yang dirasakan paling berkualiti, sama ada tulisan, masakan,
lukisan, persembahan atau apa sahaja… Ingat semula bagaimana hati kita sewaktu
menghasilkannya. Insya-Allah, pada waktu itu mesti hati kita dalam keadaan
ceria. Mustahil kita dapat menghasilkan satu kerja yang baik sewaktu dilanda
perasaan sedih, benci ataupun marah.
Aliran kegembiraan akan mengukir mutu
yang tinggi pada hasil pekerjaan kita. Itulah yang dimaksudkan ‘air tangan’
dalam pekerjaan kita. Air tangan itu hakikatnya adalah aliran keceriaan yang
mengalir daripada diri kepada pekerjaan kita. Bukan sahaja kerja malah wajah
kita juga diukir oleh kegembiraan itu. Kata bijak pandai, “jika hati baik,
wajah akan sentiasa cantik.” Salah satu ciri hati yang baik, adalah ceria!
Kata pakar-pakar psikologi dan motivasi,
sepuluh minit terawal sebaik sahaja bangun daripada tidur akan menentukan
kecemerlangan kita pada hari tersebut. Jangan hendaknya fikiran, perasaan dan
hati kita dicemari oleh sesuatu yang buruk, jahat dan kotor. Saranan mereka,
senyum, cakap yang baik-baik, rasa yang indah-indah, sebaik sahaja bangun
daripada tidur.
Sebagai seorang Islam, kita seharusnya tidak ada masalah
untuk merasa ceria sebaik sahaja bangun daripada tidur. Caranya? Hitung
kesyukuran, jangan hitung kesukaran. Islam hakikatnya sudah lama mendidik
umatnya agar melihat sisi yang baik-baik, indah-indah dan cantik-cantik sebaik
sahaja bangun daripada tidur. Justeru, kita dianjurkan untuk melafazkan doa
kesyukuran ini sebaik sahaja bangun daripada tidur: “Segala
puji bagi Allah yang telah menghidupkan kami selepas kematian kami dan
kepadaNyalah kami akan dihimpunkan.”
Ya, pertama dan utama, kita mesti bersyukur atas nikmat
hidup yang masih dikurniakan Allah. Cuba kenangkan betapa ramai orang
yang pada malam sebelumnya tidur, kemudian tidak bangun-bangun lagi pada hari
esoknya kerana telah ‘dijemput’ kematian. Tidur disifatkan oleh para hukama
sebagai separuh daripada kematian. Jadi apabila kita diizinkan untuk hidup pada
pagi hari, ertinya ‘separuh daripada kematian’ telah diangkat kembali oleh
Allah daripada diri kita… Lalu bersyukurlah kerana kita telah hidup semula
dengan sepenuhnya!
Ukirlah senyuman dan berilah salam kepada orang yang
pertama anda temui pada awal setiap pagi. Mungkin orang itu ialah ibu, bapa,
suami, isteri atau anak-anak kita. Juga fikirkan yang baik-baik dan bayangkan
yang cantik-cantik. Mintalah perlindungan daripada rasa dukacita, takut, malas
dan pengecut seperti doa yang diajarkan oleh Rasulullah SAW ini: “Ya Allah ya Tuhan kami, sesungguhnya
aku berlindung kepada-Mu daripada keluh kesah dan dukacita, aku berlindung
kepada-Mu dari lemah kemahuan dan malas, aku berlindung kepada-Mu daripada
sifat penakut dan kedekut, aku berlindung kepada-Mu daripada tekanan hutang dan
kezaliman manusia
Untuk itu lihat apa yang ada, jangan dikenang apa yang
tiada. Hitung satu persatu ‘kelebihan’ yang sedang kita miliki dan nikmati,
insya-Allah kita akan tersentak kerana pasti tidak dapat menghitungnya. Firman
Allah: “Jika kamu menghitung nikmat
Allah, nescaya kamu tidak akan terhitungnya.”
Ya, tidak dinafikan kita punya masalah, kesedihan,
kesakitan, kegagalan… namun itu tidak menghalang kita untuk terus bersyukur.
Kelebihan pastinya mengatasi kekurangan. Kesenangan tentunya melebihi
kesukaran. Malah di dalam kesukaran itu pun masih ada kesenangan. Itu sudah
sunahtullah (peraturan Allah). Itulah yang dijanjikan Allah. Firman Allah:”Sesungguhnya pada kesukaran itu ada kelapangan.”
Namun, mengapa dalam realitinya,
dirasakan berbeza? Semua ini gara-gara tersalah memandang hidup. Ingat selalu,
yang penting bukan apa yang kita pandang tetapi bagaimana cara kita
memandangnya. Apa yang berlaku di dalam diri kita lebih penting daripada
apa yang berlaku di luar diri kita. Pemikiran dan perasaan kita
yang negatif menyebabkan kita hanya fokus kepada negatif sekalipun yang negatif
itu cuma sekelumit.
Jangan jadi lalat yang mencari dan
hinggap hanya pada tempat-tempat yang kotor dan busuk walaupun masih banyak
tempat yang bersih dan wangi. Tetapi jadilah lebah yang mencari dan hinggap di
tempat yang cantik dan harum. Jadi pandanglah hidup dengan penuh rahmat, nikmat
dan indah sejak awal pagi lagi… Insya-Allah, apa yang kita lihat, itulah yang
akan kita dapat!
1 comment:
I like entry nie cik bihah =)
Post a Comment